As Salam,
Pengalaman Proses Buku Teks Semasa PKPB- Sebenarnya sudah tiga hari saya ke sekolah bersama dua orang lagi rakan guru dalam Unit SPBT sekolah kami untuk sama-sama menguruskan pemprosesan buku teks yang akan digunakan bagi sesi persekolahan 2021.
Antara Buku Teks yang unit SPBT sekolah kami terima sebelum bermulanya tempoh PKPB.Kebanyakannya buku aktiviti bagi murid tahap 1 iaitu darjah 1 hingga 3.
Sebagai Guru SPBT, adalah rutin biasa apabila hujung cuti persekolahan atau pada musim cuti persekolahan akan menguruskan buku-buku teks dan buku aktiviti yang akan digunakan bagi sesi persekolahan tahun seterusnya. Cuma tahun ini, sedikit berbeza dengan dua tahun sebelumnya tatkala saya mengemudi urusan SPBT di sekolah.
Pada tahun-tahun sebelum ini, tiada masalah pandemik seperti Covid-19, biasanya pengawas SPBT sekolah akan bergotong royong menguruskan semua urusan pemprosesan buku teks baharu atau buku teks bagi kegunaan tahun berikutnya.
Pengalaman bersama anak-anak pengawas SPBT memproses buku teks dan buku aktiviti pada tahun 2019 iaitu penghujung tahun lepas.
Masa ni, guru-guru memang tak campur tangan sangat urusan proses buku sebab anak-anak pengawas memang dah expert bab proses buku.Kami hanya pantau dan beri arahan dan bimbingan secara minima sahaja.Syukur ada mereka yang banyak membantu unit SPBT sekolah kami.
Bila ramai pengawas SPBT yang menolong, dalam sehari sahaja semua buku aktiviti dan buku teks selesai di proses.Cuma urusan menulis nombor perolehan, saya akan tentukan pengawas yang akan menulisnya sebab nak jaga kekemasan dan ketelitian ketika menulis nombor perolehan.
Pada tahun ini, buat pertama kalinya, saya memanggil AJK Guru SPBT untuk bersama-sama menguruskan proses buku baharu dari A sampai Z.Jika sebelum ini, kami hanya bantu dari aspek pengurusan, tahun ini akibat pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara kita, saya telah merancang dan berbincang dengan AJK untuk menguruskan pemprosesan Buku Teks baharu.
Bagi rakan guru yang tidak pernah terlibat dengan SPBT, memproses buku baharu bermakna kita akan menjalankan beberapa proses bagi sebuah buku.Antaranya ialah proses menge"cop" bahagian helaian pertama buku teks dan helaian akhir dengan menggunakan cop yang mempunyai nama sekolah.Biasanya kami gunakan cop bulat.Kemudian setiap buku teks tersebut perlu ditulis nombor perolehan.
Pada tahun ini, giliran kami guru-guru SPBT turun padang dan memproses semua buku teks dan buku aktiviti bagi kegunaan 2021.Kekangan akibat Covid-19 dengan SOP yang ketat, kami sepakat untuk memproses sendiri buku teks tersebut.
Walaupun sakit-sakit pinggang dan bahu kerana memproses buku ini (haha), kami tetap berpuas hati kerana kali ini kami sendiri dapat selesaikan urusan pemprosesan buku teks walaupun ambil masa hingga 3 hari.Syukur sangat, ada rakan guru yang sangat dedikasi dan hebat seperti mereka.Dalam kekangan menjalankan PdPR, mereka tetap beri komiten yang tidak berbelah bagi.
Nombor perolehan bagi sebuah buku teks merujuk kepada bilangan buku yang ke berapa / jumlah semua buku bagi judul tersebut/ tahun semasa buku diterima.Contoh menulis nombor perolehan bagi sebuah buku teks adalah seperti ini : 02 / 100 / 2020.
Selain menulis nombor perolehan, perlu juga menulis tarikh buku diterima.Semua maklumat ini diperolehi melalui Sijil Akaun Penerimaan (SAP) Buku Teks yang biasanya akan diterima apabila pembekal buku menghantar buku teks.
Memandangkan sekolah saya mempunyai bilangan murid sekitar 800 orang murid, bilangan Buku Aktiviti yang diterima dan juga Buku Cetakan Semula (BCS) agak boleh tahan juga banyaknya.Namun begitu, berdasarkan pengalaman memproses buku sebelum ini, saya dan rakan-rakan guru mengambil masa 3 hari dan akhirnya hari ini selesai semuanya buku yang kami proses.
Akhirnya semua buku BCS bagi tahap 1 iaitu tahun 1 hingga 3 bagi kegunaan 2021 berjaya disusun dan diletak dalam rak selepas bertungkus-lumus menyiapkan semua urusan proses buku baharu.yay!!
Ini pula buku aktiviti bagi kegunaan tahun 2021 yang kami rancang akan diagihkan kepada murid tahap 1 pada minggu pertama persekolahan menjelang Januari 2021 nanti.Buku ini biasanya akan dimasukkan dalam plastik mengikut set bagi setiap murid bagi memudahkan murid-murid untuk membawanya.Seorang murid secara purata akan mendapat 7-8 buah seorang bagi buku aktiviti ini.
Akhirnya berjaya mengosongkan ruang ini.Happy sangatt!
Sekolah kami masih belum menerima Buku Terbitan Baharu (BTB) bagi tahun 5 memandangkan ia adalah buku cetakan baharu selepas semakan KSSR 2017. Secara keseluruhannya, unit SPBT telah berjaya memproses 90 peratus buku bagi kegunaan 2021.Alhamdulillah:)
Seronok tengok check list ini apabila semua buku selesai diproses dengan lancar.
Saya berharap, unit kami juga dapat menguruskan proses pemulangan dan agihan buku teks pada sesi ini ( tahun 2020) yang rancang akan dijalankan pada minggu pertama cuti persekolahan tahun ini.Apapun semuanya akan diputuskan dalam mesyuarat guru yang jangka diadakan pada minggu hadapan.
Mohon doakan Unit SPBT sekolah kami dapat terus memainkan peranan dan fungsinya dengan lebih baik pada masa hadapan.aamin.
0 Comments
Sila Tinggalkan Komen Anda Disini.Terima Kasih.
Emoji